Saturday, March 22, 2014

Tips perniagaan Universiti Jalanan – Asas perniagaan



Pengenalan

Kata seorang peniaga cina kepada rakannya orang melayu. 'Haji aa.. orang melayu meniaga masih pakai kain. Kalau orang melayu sudah pandai pakai seluar aa.. orang cina gulung tikar oo.' Mendalam maksud kiasan tersebut.
 
Ramai peniaga melayu khususnya, selalu gagal dalam perniagaan atas pelbagai sebab. Tetapi kebanyakannya gagal kerana tiada ilmu dalam perniagaan. Kata orang, ‘Orang nak meniaga, dia pun nak meniaga’

Betul, dalam dunia ni asal ada modal boleh berniaga. Tapi bila tiada ilmu, perniagaan cuma mampu hidup beberapa bulan dan lepas tu gulung tikar. Kalau ada rezeki, dapat tempat yang strategic, perniagaan maju dan bertahan beberapa tahun tapi akhirnya lingkup juga. Kerana apa? Banyak sebab. Boleh jadi kerana lupa daratan. Namun penyebab utama adalah prinsip perniagaan diabaikan. Adab dalam perniagaan tidak dijaga. Asas perniagaan tidak diamalkan.

Tanyalah peniaga melayu yang berjaya, sudah berapa kali dia gagal? Pasti jawapannya sudah berkali-kali. Dan pengalaman gagal serta jatuh bangun itulah yang mengajar dia untuk berjaya. Pengalaman inilah yang dikatakan Universiti Jalanan. Dan inilah juga resam orang kita. Ambil terlalu lama masa untuk belajar. Slow.

Dan resam orang kita jugalah yang terkenal dengan ‘pelaris’. Bersekutu dengan jin. Masuk kedai melayu Islam pun kita tengok berbagai tips songsang dalam dan luar kedai. Tergantung gambar orang yang kononnya boleh bagi murah rezeki. Macam-macam cara asalkan cepat kaya. Halal haram tak dijaga malah akidah digadai untuk dapat ganjaran dunia.

Prinsip-prinsip perniagaan Universiti Jalanan

Berikut adalah prinsip asas perniagaan yang perlu kita ikut dan patuhi.

Prinsip 1 – Customer always right

Dalam perniagan, pelanggan kita ibarat raja. Layani komplen pelanggan. Rungutan ketidakpuasan hati pelanggan andai tidak ditangani dengan bijak bakal memberi kesan tidak baik pada perkembangan perniagaan kita. Layan pelanggan satu-satu dan kalau perlu melayan pelanggan lain, minta izin dengan baik.

Prinsip 2 – Jangan amal riba’

Riba’ adalah haram dalam Islam. Takde tolak ansur kat sini. Ada orang berniaga, kalau beli tunai harganya lain dan kalau beli hutang harganya lain. Contohnya, kalau Kak Eton bayar cash, tudung ni saya bagi rm50. Kalau nak hutang buat 3 kali bayar, saya bagi rm60.

Dalam contoh diatas kita dah makan riba’ rm10. Haram tu. Sekarang ni kalau berniaga, hutang atau tunai, harga tetap sama. Kalau takut tak boleh pusing modal, jangan bagi hutang.

Prinsip 3 – Jangan amal hutang

Bukan nak kata, orang kita selagi boleh hutang, dia akan hutang. Walaupun ada cash, bila penjual kata ‘boleh hutang bayar 2 kali’, nescaya dia akan hutang. Tapi bila pi pasar raya atau pasar malam, boleh pulak dia bayar cash.

Ingat, Abdul Rahman bin Auf r.a dalam perniagaannya tidak mengamalkan hutang.


Adab-adab didalam perniagaan


Berikut pula adalah adab-adab didalam perniagaan yang perlu diamalkan.


Adab perniagaan – Memohon maaf

Jangan malu atau segan untuk memohon maaf pada pelanggan seandainya berlaku salah faham, kesilapan atau kekurangan di pihak kita. Sebagai contoh kisah benar di sebuah kedai roti canai di Guar Chempedak. Seorang pelanggan mengadu dengan nada marah, katanya ‘Apa ni bang? Saya dah order lama, roti canai tak sampai, the ais pun tak sampai. Tu orang kat sebelah tu baru sampai dah siap jamah makanan dan minuman.’ Tokey kedai jawab, ‘kuah roti canai habis. Tunggu sat.’

Sebentar kemudian datang orang bawa teh ais. Pelanggan ni kata kat orang tu, ‘Macam mana orang kat sebelah tu baru mai dapat dulu?’. Jawab si pembawa air, ‘Saya bancuh air, orang order saya buat air. Dekat sapa air dihantar tu saya tak tau. Jangan main marah ja.’ Kemudian datang pula roti canai.
Pelanggan tu jamah dua tiga suap roti canai, minum dua tiga teguk teh ais dan terus pi bayar. Tiada sesiapa dari pihak kedai yang memohon maaf pada pelanggan tadi.

Dari kisah benar diatas, kita dapat lihat bagaimana pelanggan mengadu  ketidak-puasan hati atas kesilapan peniaga dan bagaimana pula jawab si peniaga. Disini, ucapan ‘Saya minta maaf’ dari peniaga sudah cukup untuk meredakan suasana dan hati pelanggan. Ingat, pelaggan lain juga turut memerhati.

Nota: Ini adalah kali kedua perkara sama berlaku pada pelanggan tersebut. Dan selepas kejadian kali kedua, pelanggan kata itulah kali terakhir dia masuk kedai tu. Dan kita harus ingat, bila kejadian sama berlaku berulang kali pada pelanggan yang sama, tentu juga perkara sama berlaku pada pelanggan lain. Tidak hairan kalau kedai roti canai tu akan gulung tikar sedikit masa lagi.

Adab perniagaan – Serve pelanggan

Pesan seorang peniaga, 'Kalau pelanggan kurang dalam kedai, layan pelanggan dengan baik. Cuba berbual, bagi khidmat nasihat tentang barangan dan lain-lain untuk bagi pelanggan berada lama dalam kedai. Orang suka datang kedai yang ramai pelanggan.Tapi andai pelanggan ramai dalam kedai, serve kena cepat, layanan mesti pantas biar pelanggan cepat keluar. Pelanggan tak suka tunggu lama.'

Dalam melayani pelanggan, jangan lupa adab dan sopan. Patah perkataan biar bertapis. Nada suara biar lembut.

Adab perniagaan – Mesra dengan pelanggan

Amalkan:
Senyum selalu. Dan senyuman itu biar ikhlas.
Jangan berat mulut untuk bertanya khabar.

Jauhi:
Jangan bertanya perihal peribadi pelanggan.
Jangan mengumpat dan melayan umpatan.

Kesimpulan

Demikian sedikit perkongsian tips perniagaan universiti jalanan. Amalkan ya. Moga kita mendapat berkat rezeki yang diperolehi dengan cara yang halal.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi komen.